Tuesday 24 September 2013

RINDU ITU CINTA - 3


 draw in Adobe Illustrator CS3, credit with permission: FATTAH AMIN


“AL! Bangun!”
Rozan berteriak keras mengejutkan aku yang sedang enak berlingkar atas katil. Aku bergerak malas, bukan mahu bangun sebaliknya mencari posisi yang lebih selesa. Aku tak ingin nak bangun lagi, bahana berkaraoke tak ingat dunia malam tadi.
“Hoi, Al! Bangunlah… kakak hang suruh balik!”
Buk!! Rozan menimpuk batang tubuh aku dengan bantal. Sontak aku bangun sambil mengucek-ngucek mata.
 “Oi! Kenak paluk kamek[1]?!” Aku berteriak marah. Geram betul bila tidur aku kena ganggu.
Rozan menggeleng kepala. “Dah… keluar dah bahasa Sarawak dia tu. Bangunlah weh! Dari tadi kakak hang duk call suruh hang balik…”
Aku masih terbingung-bingung di atas katil. Malas sungguh rasanya nak bangun.
“Heee... aku peliklah... kau tidur lewat macam aku, tapi apsal kau boleh bangun awal hang?”
“Pasai aku takut kat Tuhan... pasai tu aku gagah jugak bangun solat subuh...”
Perghh! Kan dah kena sedas! Aku garu-garu kepala macam orang ada kelemumur. Hajat hati nak rebah balik ke tilam.
“Pi mandilah Al… dah pukul sebelas ni. Aku bukan nak halau hang tapi sat gi, kakak hang mesti telefon suroh hang balik.”
Aku menggeliat malas. Mata aku ni mengantuk sangat lagi rasanya. Lagipun hari ni Ahad, bukan kebiasaan aku bangun awal. Selagi matahari tak menggalah, jangan harap aku nak bangun. Sebab tu aku lagi suka tumpang tidur rumah kawan-kawan aku bila hari cuti.
Baru aje nak bangun pergi bilik mandi, telefon bimbit aku berdering. Rozan tersenyum pandang aku.
“Masin mulut aku…”
Aku melengos sambil menggapai telefon bimbitnya dari atas meja di tepi katil. Nombor rumah Kak Amalia, berkelip-kelip pada skrin. Nak tak nak, aku terpaksa jugak tekan butang menjawab.
“Al! Ney kitak? Kitak relex siney tadik malam[2]?” Suara Kak  Amalia meledak di hujung talian.
Aik? Peliknya! Kakak tiba-tiba cakap Sarawak dengan aku ni, ada apahal?
“Apa? Kamek rah rumah kawan tok[3]! Aku memberitahu dalam nada separuh merengus
Apa polah kitak sinun? Balit kinektok[4]!”
“Aih! Iboh anok kamek eh. Kenak nyuroh kamek balit kinektok? Babo kali kitak kamek cuti aritok. Gago jak kitak[5]!” Aku menjawab sambil sesekali memandang Rozan yang terkebil-kebil dengar aku cakap dalam bahasa Sarawak.
Aok la, tapi mak ngan Alani baruk sampey tek... Sidaknya nanyak ney kitak[6]…” 
“Hah?!” Mata aku sontak terbelalak. Sekarang baru aku faham kenapa Kak Amalia tak putus asa menelefon aku!
Aihhh…kenak mak ngagak sik madah? Kak, madah jak kamek tidur rumah kawan kamek[7]! Pleaseeeee…” Aku membuat rayuan. Habislah... mem besar dah jejak tanah Semenanjung!
Aok…! Tapi kamek maok handbag Couch sigek[8]!”
“Ihhhhh!!!” Aku menggeram. Kalaulah Kak Amalia ada depan mata aku sekarang ni, nak aje aku ceik-cekik dia. Dasar pemeras ugut! Dah ada suami gaji besar pun masih tegar dia menguras duit adik sendiri! Huh!
Kak Amalia masih Amalia ketawa terkekeh-kekeh. “Cepat balit!”
“Aok!” Aku putuskan talian dengan rasa bengang.
“Awat? Apa masalah kakak hang?” tanya Rozan bila tengok aku kalut kemaskan katil.
“Mak dengan adik aku datang dari Kuching! Habislah… habislah… mesti ada yang tak kena. Kalau tak, takkan mak aku tiba-tiba aje muncul macam pengawas sekolah buat spot check!” Aku mula rasa kelam-kabut. 
Dahi Rozan berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. “Hah! Masin lagi mulut aku no? Ni mesti pasai gambaq-gambaq hang yang Rania upload kemarin dak? Tulah hampa... daring sangat, lupa hampa tu sebenaqnya Melayu!”
“Amboi? Sedapnya kau menyindir aku! Hishh, nasib baik aku tak ada masa nak layan. Pinjam tuala dengan baju kau!” Aku menadah tangan bersama muka sengaja dibuat comel.
Rozan mencebik. “Spender aku hang takmo pinjam ka?”
Bersama muka mengernyit nakal, Al membalas, “Sanggup ke kau bagi pinjam! Aku okey aje!”
Hampesss sungguh! Melayan pulak dia!”
Aku tergelak besar bila tengok muka cemberut Rozan.
***************
Waktu aku sedang pakai baju, Rozan tiba-tiba menerpa masuk ke bilik.
“Al…habis! Habis... tayar kereta hang dah kena clamp!”
“Hah?” Aku tercengang dengan muka bingung untuk beberapa saat. “Eh? Apsal pulak kena clamp? Aku letak kereta kat tempat parkir kereta, kan?”
Rozan menjungkitkan bahu. Sambil menggaru-garu kepala, dia berkata, “Memanglah hang letak kat tempat parkir. Tapi manalah aku tau tempat hang tu ada tuan ke dak. Aku kan baghu lagi kat sini...”
Aku pun cepat-cepat keluar dari bilik, pergi ke beranda. Rumah Rozan ni terletak di tingkat dua, menghadap tempar parkir dan dewan serbaguna, memang nampak direct ke arah kereta aku kat bawah sana.
Damn it!” Aku menyumpah sambil tepuk tembok beranda bula melihat tayar kereta Kia Forte warna putih dengan nombor flat 900, dah kena clamp!
Sorry la bro…” Rozan tepuk bahu aku dengan muka bersalah. “Aku ghasa tu parkir orang kut pasai tu kereta hang kena clamp.”
“Haih…bila aku nak cepat, ada aje masalah datang. Habis tu, macam mana? Apa aku nak buat?” Aku bertanya sambil berkacak pinggang.
“Hari ni hari Ahad, ofis tutup. Takpa, biar aku pi jumpak guard, mintak kawtim dengan depa. Hang tunggu sat na...”


*********************
“ITULAH… siapa suruh masuk kawasan apartment ni tak daftar nama dan nombor kereta di pos pengawal dulu? Sepatutnya awak parkir kereta di tempat pelawat, bukannya suka-suka hati ambil parkir penghuni kat sini. Susah sangat ke nak ikut undang-undang?”
Pengawal lelaki berbangsa Melayu tu membebel. Aku berdecak geram.  Mencabar kesabaran betul!
“Maaflah bang. Saya baru ja pindah sini kemarin. Kawan saya ni datang tolong angkat barang. Takkan tak boleh setel kut? Hal kecik ja pun?” Rozan cuba meminta sedikit kelonggaran.
Aku hanya diam menahan amarah. Kalau diikutkan rasa hati, nak aje aku tinju mulut pengawal yang tak henti-henti menyalahkan aku. Macamlah besar sangat dosa ambil parkir kereta orang lain… yang si tuan punya parkir pun sama! Tak boleh bertoleransi sikit ke? Kan banyak lagi parkir yang kosong dekat-dekat sini! Sabarlah sikit... bukannya aku tak keluar dari sini. Huh!
“Hah, awak bolehlah bagi macam-macam alasan. Tapi kami yang kena jawab dengan pengurusan bila ada penghuni buat komplen pasal ni! Korang tahu apa? Ingat senang ke jadi pengawal keselamatan? Kami tak tidur malam…melayan karenah pelawat yang degil macam kawan awak ini lagi…”
Rasanya aku boleh kena serangan darah tinggi kalau terus dengar dan tengok gelagat pengawal tu.
“Okey! Sekarang ni aku nak cepat dan malas nak dengar ceramah pasal peraturan kat kawasan apartment ni. Cakap ajelah berapa aku kena bayar baru kau nak buka clamp ni?” Aku tahu cara aku bercakap agak kasar tapi aku dah tak mampu nak tahan sabar.
Sudahlah terpaksa berdiri di tepi kereta sendiri yang diclamp, kemudian telinga aku supaya dengar bebelan yang tak bermanfaat tu. Macam bagus sungguh… apa dia fikir dengan seragam biru tu, dia dah rasa berkuasa macam polis?
“RM50!” tegas pengawal keselamatan itu dengan riak muka jelas bengang.
Tanpa banyak bicara lagi, aku keluarkan dompet dari saku jeans dan tarik sehelai not RM50. Aku hulur pada pengawal keselamatan itu tanpa cakap apa pun. Hati dah panas, kang kalau cakap kang keluar pulak perkataan tak elok. So, baik aku diam.
Barulah pengawal tersebut nak membuka kunci clamp. Lepas tu aku terus masuk kereta tanpa ucap terima kasih pun. Pengawal keselamatan beredar dengan muka masam sambil membebel-bebel.
Setelah menghidupkan enjin kereta, Al menurunkan cermin tingkap. Mukanya keruh memandang Rozan.
“Aik? Takkan kena sound dengan pak guard jiwa hang dah bergelora?” tegur Rozan, sengaja mengusik.
Al merengus. “Bukan sebab dialah. Aku serabut kepala memikirkan nak berdepan dengan mak aku ni. Kau tau ajelah mak aku tu… fikiran masih konservatif.”
“Hish! Tak baik hang cakap lagu tu. Bersyukurlah hang masih ada mak. Jangan jadi macam aku ni… anak yatim. Bila ada masalah, selain kat hang dan tunang tersayang, aku cuma mampu mengadu kat Tuhan saja…” Nada suara Rozan tiba-tiba berubah menjadi sayu.
Aku terkebil-kebil memandang Rozan. Tak semena-mena, keluhan kesal terbit dari mulut aku. “Halamak... sorry bro… tak ada niat pun nak buat kau sendu.”
“Dahlah…” Rozan tertawa, menyembunyikan sendu di hati. Bahu aku ditumbuk perlahan. “Mak hang dah tunggu tu. Tapi jangan pulak hang serik nak mai sini lagi…”
Aku menyeringai, menampakkan deretan besi sistem Damon yang melekap pada gigi aku ni. “Mana boleh aku serik. Kalau boleh hari-hari aku nak bertenggek kat mamak depan apartment ni. Selagi aku tak jumpa awek Barbie doll tu, aku pasti takkan jemu datang ke rumah kau…”
“Hang ni memang bapak ghandok sunggohlaa...! Hang tak buleh serius sikit ka? Seminit pun jadilah...” 
Aku ketawa tengok muka bengang Rozan. “Okeylah… aku gerak dulu bro! Apa-apa hal nanti aku roger.”
Tetapi sebaik sahaja kereta bergerak keluar dari kawasan apartment, senyum aku terus hilang. Aku memandu dalam keadaan menyandar di jok sambil dahi berkerut memikirkan masa depan. Bukan aku tak pernah terfikir nak tamatkan zaman bujang. Bukan aku tak pernah tegur sikap Rania yang suka menayang-nayang gambar peribadi kami di instagram dan facebook.
Tapi aku nak buat macam mana kalau dapat awek queen control? Mujur kami ni bukan artis aje... kalau tak, aku rasa dah lama masuk laman gossip, jadi bahan kutukan umum.
Nak putuskan hubungan dengan Rania, rasa macam kejam pulak. Yelah, dah sedap-sedap hidup macam orang dah menikah, tiba-tiba aku nak tinggalkan Rania? Ajak menikah, Rania pulak nak hidup free flow.
Rimas dan malas bertekak, aku pun ikut ajelah. Kalau ada jodoh dengan Rania, adalah. Kalau tak ada, cari orang lainlah jawabnya...
*************************
Bila tengok Nissan Grand Livina milik Kak Amalia tak ada di bawah porch rumah berkembar Sunway Rydgeway, Melawati Heights, aku mengeluh lega. Itu tandanya Kak Amalia tak ada di rumah dan dah tentu mak pun tak ada. Sekurang-kuranya dapatlah aku persiapkan diri dengan jawapan mantap sebelum menghadap paduka emak!
Masuk aje ke dalam rumah, aku nampak Sari, si bibik sedang mengelap meja kopi di ruang tamu.
“Sari, Kak Ama mana?” Aku bertanya sebab nak pastikan yang Kak Amalia betul-betul tak ada di rumah.
Sambil terus mengelap meja, Sari menjawab, “Oh, ibunya lagi pergian sama oma… katanya mau ke KLCC…”
Pheww! Aku bersiul lega. Maksudnya Kak Ama dengan mak memang tak ada kat rumah!
Aku terus bersiul melagukan keriangan sambil berjalan menuju ke bilik bujang aku di tingkat dua. Aku nak mandi dalam ertikata sebenar sebab kat rumah Rozan tadi, aku Cuma mandi koboi sebab mengejar waktu. Gigi pun tak bergosok. Geli la pulak nak berkongsi berus gigi dengan Rozan! Cuma berkumur dengan Listerine.
Tapi baru aje bukak pintu, aku terkejut tengok sekujur tubuh terbaring enak atas katil aku.
“Abang…!” Alani melonjak bangun lalu menerpa aku.
Dipeluknya aku, sampai aku nyaris nak terjengkang ke belakang. Tak sempat aku nak tahan, Alani dah mencetak lipgloss merah jambu ke pipi aku.
Cepat-cepat tangan aku mengesat pipi yang terasa lekit. Bau strawberry semerbak. “Iihhh… ada kat sini rupanya setan kecik ni? Dah besar panjang tapi masih manja macam budak tadika!” Aku renggangkan tubuh Alani jauh dari aku.  
Alani langsung cemberut. “Oih! Jaik mena mulut kitak! Mun kamek setan kecik, abang ya setan besar!”
Aku tertawa, tak menanggapi kutukan Alani. Kepala Alani aku gosok-gosok sayang.
“Apsal tak ikut mak dengan Kak Ama?” Aku menyoal curiga. Biasanya Alani yang paling galak nak ke KLCC kalau datang bercuti ke Semenanjung.
“Tak maulah! Lepas pergi KLCC mak dengan Kak Ama nak ke rumah Auntie Hasyimah. Abang tau ajelah Auntie Hasyimah tu macam apa? Eksyen! Lagi pulak bila abang Kamal dah balik dari New Zealand ni, makin kembanglah hidung auntie Hasyimah!” cemuh Alani,
“Oit? Lupa ka yang Alani kutuk tu mak saudara sendiri.”
“Ah! Bekas saja. Dia sendiri sik mauk ngakuk sodara!”
Aku malas lagi nak bagi sebarang komen sebab aku sendiri dah lama tak bersua muka dengan auntie Hasyimah, kakak mak aku sendiri. Lepas Uncle Syed Husni Alydrus meninggal dunia akibat sakit jantung beberapa tahun lepas, Auntie Hasyimah berpidnah dari Kuching dan tinggal dengan anak sulungnya Sharifah Juriah di Putrajaya. Sejak itu jugak hubungan kekeluargaan kami terasa semakin menjauh. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri, macam sekeluarga di Kutub Utara, sekeluarga lagi di Kutub Selatan.
“Eh? Abang tak nak jumpa dengan abang Kamal ke?”
“Buat apa abang jumpa dia?” tanya Al, acuh tak acuh.
“Sajelah... jumpa sepupu yang lama terpisah jauh.. Masa kecik-kecik dulu kan abang dengan dia kamcing?”
“Baik abang jumpa Kak Rania, lagi best, boleh peluk-peluk... cium-cium...”
Belum pun aku dapat menghabiskan kata-kata, Alani dah menimpuk aku dengan bantal guling. “Eeee! Abang ni memang tak tau malu eh? Entah apalah yang best sangat pada Kak Rania tu...”
“Ah, Alani mana budak kecik! Mana tau apa-apa!” Aku pamer muka mengejek.
“Apa yang best sangat perempuan kenja kedak Kak Rania eyh?” Alani mencebik.
“Eh! Iboh pakei nanyak! Keluar gih. Abang mauk mandi[9]!” Aku berkata sambil menolak tubuh Alani supaya keluar dari biliknya. Aku dah tak sabar nak mandi buat kali kedua di bilik air sendiri, dalam keadaan lebih selesa.
Alani tetap berkeras tak mahu keluar. Tetapi aku mengambil pendekatan lebih jantan. Tanpa sebarang amaran, aku terus mendukung tubuh kecil Alani lalu dibawa keluar. Biar pun Alani meronta, aku tetap tegar. Sebaik sahaja melepasi garisan pintu, barulah dia aku turunkan.
Sebelum menutup pintu, sempat lagi aku menjelirkan lidah. “Werrkkk!” Macam budak kecil, tak padan dengan usia aku yang dah 31 tahun.
“Iihhhh! Jaik muka abang juak[10]!” Alani merengus bengang.
Tapi aku dah berjaya menutup pintu. Buru-buru aku kunci dari dalam agar Alani tak sesuka hati menyelonong masuk ke bilik aku lagi.   
********
Aku baru hendak melelapkan mata ketika suara Amalia memanggil dari luar bilik. Mendadak aku merasa kecut perut! Alahaiii… tu maknanya mak dah balik. Macam mana ni?
“Al! Keluar!” Panggilan Amalia itu disertai dengan ketukan pintu bertalu-talu. Itu tandanya, aku tak tak boleh bertangguh barang seminit.
“Sekejap kak!” Aku bergegas bangun. Sempat melirik pandang pantulan diri aku pada cermin. T-shirt polos dan seluar khaki paras lutut. Okeylah… aku nampak macam anak baik-baik… hehe…
Ketika membuka pintu, wajah aku terus berubah, macam sedang melihat satu pemandangan mengerikan.
“Err… mak! Apa khabar?” sapa aku, agak gugup sambil tunduk mencium tangan mak aku, Puan Sharifah Norzah.
Mak tak menjawab pertanyaan aku, sebaliknya dia mengusap-usap kepala aku. Terus aku tegakkan tubuh dan terkedu tengok mak dah berlinangan air mata. Mendadak aku rasa berdosa sangat.
“Oh, mak! Kenak nangis indah?[11]” Aku pegang pipi mak.
Tapi mana nak sangka, perbuatan aku tu malah membuatkan mak makin terisak-isak. Aduh... tak keruan aku jadinya, lalu aku pandang Kak Amalia, mintak bantuan kilat.
Kak Amalia memang memahami kesusahan aku, terus dia pujuk mak. “Mak… iboh nangis kedak ya. Juh kita kelakar bait-bait[12]…”
Bait-bait gine? Adik kitak tok bujat! Mak sik mauk nya bergerek dengan miak ya lagik! Kacak nang kacak tapi perangey jaik gilak! Sik mauk mak mantu ngegeh kedak ya![13]   Mak menggetus geram  dan tangannya melepaskan tamparan ke bahu aku.
Aku tak berani nak mengaduh. Cuma diam terkebil-kebil memandang mak. Mak kalau dah melepaskan amarah, tak boleh ada sesiapapun yang bersuara membangkang. Diam adalah lebih baik agar bebelan mak tak berpanjangan. Agar hati mak tak bertambah lukanya.
 “Kahwin jak mun Al suk mena dengan nya[14]!”
Mata aku terus terbeliak mendengar saranan tiba-tiba itu. Tadi cakap tak nak menantu gedik macam Rania? Sekarang suruh kahwin pulak? Aku ternganga memandang mak.
“Kah…kahwin?” Aku bertanya dengan mata bulat seolah-olah kahwin itu perkara paling menakutkan. “Tapi…”
Tapi mun sik mauk padah sik mauk! Iboh berolah dakya molah dosa[15]!” tegas mak sambil pandang aku dengan wajah berdukanya.
Sudahnya, aku tertunduk. Wajah mak yang sedemikian rupa selalu buat aku mengalah, enggan melawan cakap mak lagi. Perlahan-lahan aku melurut ke kaki mak. Kemudian aku bersujud sambil berkata dengan suara mulai serak menahan sebak.
“Ampunkan Al, mak! Al sikpat jadik anak nak bait… Al tauk Al banyak molah dosa! Ampunkan kamek!”
Mak segera tarik bahu aku supaya bangun.
“Al, mak mauk Al bertaubat. Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul qayyumu wa atubu ilahi (Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.)
Demi mendengar bacaan emak itu, hati aku terasa bagai dijentik malaikat. Mata aku pejamkan sejenak sambil nafas ditarik dalam-dalam.
“Mun Al sik mauk nikah dengan Rania, carik ompuan lain nak lebih bait…”
Aku tak terkata lagi mendengar permintaan mak. Cari orang perempuan lain? Hmm…
Tiba-tiba hati aku nekad. Aku akan ajak Rania menikah dengan kadar segera. Tapi kalau Rania masih menolak, biar aku sendiri yang memutuskan hubungan!



[1] Kenapa pukul saya?
[2] Mana awak? Awak lepak mana malam tadi?
[3] Saya kat rumah kawan ni!
[4] Apa awak buat di sana? Balik sekarang!
[5] Aih! Jangan marah saya la. Kenapa suruh saya balik sekarang? Nyanyuk agaknya awak, saya cuti hari ni. Sibuk aje awak!
[6] Tau la, tapi mak dengan Alani baru sampai tadi. Mereka tanya mana awak.
[7] Kenapa mak datang tak cakap? Kak, beritahu je saya tidur rumah kawan saya!
[8] Ya! Saya nak beg tangan Couch satu!
[9] Eh, tak payah tanya. Pergi keluar. Abang nak mandi!
[10] Buruk sungguh muka abang!
[11] Kenapa menangis pulak?
[12] Mak…jangan menangis macam tu. Jom kita berbincang baik-baik.
[13] Baik-baik macam mana? Adik awak ni gatal. Mak tak nak dia bercinta dengan budak tu lagi. Cantik memanglag cantik tapi perangai teruk betul. Tak nak mak menantu gatal macam tu!
[14] Kahwin aje kalau AL suka sangat dengan dia!
[15] Tapi kalau tak nak cakap tak nak. Jangan buat hal buat dosa!

No comments:

Post a Comment

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016