Wednesday 3 October 2012

Guy Next Door - 2


Aku tercengang bila tiba-tiba kena marah dengan awek sebelah rumah tu tadi. 

Entah apalah salah aku kat dia ya? Nak kata kenal rapat, memang bohong. Bertegur sapa apatah lagi walaupun dah lima tahun aku duduk kat sini. Lagipun muka dia selalu masam bila nampak aku. Aku cuma tahu nama dia dari mak dia, Mak Cik Umi. Kristal binti Abdul Hamid. Aku tergelak jugak bila Mak Cik umi kata, nama tu diberi gara-gara dia obses dengan barangan kristal sewaktu mengandungkan Kris. Nasib baik tak diletaknya, Siti Swarovski! Kehkehkeh!

Tapi apahal pulak aku ni dikaitkan dalam hidup dia? Memanglah aku selalu dengar suara Mak Cik Umi tu membebel. Tapi mana ada hari-hari. Hujung minggu dan hari-hari cuti umum aje. Huh, exaggerate cerita sungguhlah si Kris tu! 

Bagi aku mak si Kris tu memang suka bercakap. Tengoklah, setiap kali datang rumah ni, mak aku mesti ketawa bila dengar cerita-cerita Mak Cik Umi. Meriah aje aku dengar diorang bersembang. Aku pun lapang dada bila tengok mak ada kawan. Taklah mak sunyi kalau aku tengah sibuk dengan kerja tak kunjung habis aku ni.

Lepas siap siram bunga, aku naik ke bilik. Bukan bilik tidur. Tapi bilik bacaan arwah ayah yang kemudiannya aku ubah suai jadi bilik kerja. Jadi, kalau anak-anak buah aku yang lapan orang tu datang waktu-waktu aku tengah bergelut dihambat ‘tarikh mati’ hantar kerja, kat bilik itulah aku bertapa. Masa tu, tak seorang pun berani kacau Pak Su mereka ni. 

Tapi taklah bermaksud aku ni garang. Diaorang dah faham sangat kerja aku ni tak boleh dikacau sebarang. Diorang selalu cakap, “Pak Su ni dahlah hensem, baik pulak tu, sayang Pak Su!” Ehem! :)

Bilik kerja aku ni ada beranda kecil, menghadap beranda rumah sebelah. Tapi sepanjang aku lepak sambil minum kopi, waktu malam time-time otak rasa sengkak, tak pernah pula aku nampak penghuni-penghuni rumah sebelah duduk kat beranda tu. Pintu ke beranda tu pun bertutup aje sepanjang waktu. Dah macam kawasan larangan pulak.

Tapi dari beranda rumah mak ni, aku selalu nampak si Kris duduk tepi kolam ikan Pak Mid kat tepi rumah dia sambil bercakap di telefon. Tak nak mak dia dengarlah tu!

Kadang-kadang aku senyum sendiri bila tengok gelagat dia. Gila manja! Suara lembut gila, tak macam suara dia yang biasa aku dengar. Mesti cakap dengan boyfriend! Yelah... orang cun dan hot macam dia tu, mustahil sangatlah kalau takde lelaki yang nak.

Mujur dia tak pernah nampak aku sebab aku tak suka buka lampu. Suka duduk dalam gelap. Tengok langit malam waktu orang tidur, biasanya akan beri aku idea. Apa lagi kalau lepas buat solat tahajjud. Gerenti kepala fresh semula.

"Adik! Mari makan..."

Panggilan emak sudah tiba. Aku dengan mak memang tak pernah miss makan tengahari bersama. 

"Baik mak...adik turun kejap lagi..."  

Adik...itu panggilan keluarga pada aku sejak kecil walaupun kini usia aku dah nak masuk 29 tahun. Kalau orang luar dengar mesti gelak-gelak mengejek. Almaklumlah aku dah besar panjang pun masih dipanggil adik. Tapi, aku pun tak kisah sangat tentang panggilan tu. Dah terbiasa. Biar orang tau yang aku ni anak manja mak! Mungkin sebab tu jugak, sampai sekarang aku masih tak terfikir nak senarai pendekkan kawan-kawan perempuan yang aku ada sebagai calon isteri. 

Heh! Macamlah ramai sangat kawan perempuan aku. Yang confirm single, Aina, Lieza dengan Tisha aje. Itu pun sesekali aje aku join group sembang ex - kolej aku dulu dekat Google+ dan Facebook. Nak sembang lelebih sangat pun tak boleh sebab Tisha dah mula tunjuk bunga-bunga cinta kat aku. Haih! Aku cemas bila Tisha mula sembang guna ayat-ayat manja dengan aku. 

Memanglah aku suka perempuan manja. Tapi manja si Tisha tu buat aku geli-geleman. Manja dibuat-buat sampai adakalanya aku rasa dia mengada! Kadang rasa tak kuasa nak tengok gambar-gambar dia yang selalu dia tag kat aku di Facebook. Tinggal lagi aku tak kejam aje nak removekan tanda tag tu.

Apa tak nya, elok-elok Tuhan bagi bibir rata, tapi dimuncung-muncungkan, bajek senyum K-Pop! Haih! Tak berkenan sungguh aku!

Mengenangkan senyum k-Pop Tisha yang lebih mirip kepada mulut itik, perut aku tiba-tiba jadi kenyang. Tak lalu nak makan sebenarnya. Tapi aku turun jugak ke dapur, sekurang-kurangnya kalau aku tak makan, aku temankan mak makan. Mak tu kalau makan sorang, selalu kering nasi kat tangan sebab lebih banyak menung dari suap ke mulut gara-gara kenangkan arwah ayah. 

Mak dah hidangkan lauk atas meja. Ada gulai ikan tenggiri, sambal mangga, sayur campur dan peria katak celur sebagai ulam! Semuanya kegemaran aku. Pandai mak pancing selera aku…

Ni kalau kakak-kakak aku yang empat orang tu datang satu family, memang gegak gempita rumah ni. Tapi minggu ni dorang pakat-pakat balik spend weekend kat rumah mertua masing-masing. Ikut turn. Minggu depan baru diorang datang sini. 

Baru aje aku nak duduk, terdengar suara orang memberi salam. Mak Cik Umi muncul di muka pintu dapur bersama satu Tupperware di tangannya. Aku segera membuka pintu. Senyum tapi tak salam. Bukan sombong, tapi aku memang tak salam orang perempuan bukan mahram walaupun dia lebih tua dari aku. 

“Masuklah, mak cik…”

“Baru nak makan tengahari ke?” 

“Ah ah, moh ler join sekali!” Mak mempelawa ramah, siap ambilkan pinggan kosong lagi satu.

“Eh, saya dah makan dengan Abang Mid sebelum dia keluar tadi. Ni ha… saya ada buat pengat durian. Teringat Adam suka makan pengat durian, tu yang saya bawak sini.” Mak Cik Umi tarik kerusi dan duduk di sebelah mak. 

“Wow! Pengat durian?” Aku dah mula teruja. 

Mak senyum-senyum tengok aku. “Sukalah kau ye, dik?” 

Aku senyum-senyum. Untung hidup aku, dapat jiran yang bukan sahaja pandai masak, tapi juga pemurah. Ada aje habuan untuk aku dan mak. 

Tiba-tiba aku teringatkan anak dara Mak Cik Umi yang satu tu. Agak-agak, si Kris tu pandai masak macam mak dia tak? :)



nota kaki*hero ni gara2 saya teringat anak jiran kat rumah lama. Dia anak bongsu, duduk dengan mak, pakai Satria Neo warna kelabu. :)
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016