Wednesday 17 October 2012

Guy Next Door - 6


Aku termangu depan iMac 27 inci itu. Bukan mengadap kerja tapi membaca satu emel. Tawaran itu datang lagi setelah dulunya aku pernah tolak dengan baik. Tawaran lumayan yang memaksa aku berhijrah, meninggalkan bumi Malaysia. Aku rasa kalau orang lain mesti tak fikir panjang. Terus terima. Tapi aku tak boleh buat macam tu. 

Mak...aku risaukan mak. Sejak akhir-akhir ni mak banyak sangat termenung. Mak cakap rindu kat arwah ayah. Aku pun rindu dan pernah terselit dalam hati perasaan menyesal sebab aku tak balik Malaysia lepas habis belajar. Ayah pergi mendadak. Lima hari aku temankan ayah waktu sakit, aku tak henti mintak ampun dan maaf sebab rasa bersalah sangat-sangat. Aku kejar dunia waktu tu. Kemaruk dengan kerja yang tengah gemilang.

Haih! Kalau fikir pun memang sesal tak berguna. Penyesalan memang selalu datang lambat.
Malas nak fikir fasal kerja, aku tutup suis dan keluar dari bilik. Mak tak ada sebab Kak Long dan Kak Chik bawak pergi shopping kat Nilai 3. Lembiklah lutut mak ikut dorang berjalan. Ini dah dekat pukul 5.30, entahkan balik ke sini atau bermalam kat rumah Kak Long kat Putrajaya. Ngangalah aku sorang diri kat rumah ni...

Bosan tak ada apa nak buat, aku terfikir nak cuci Chevy Cruze warna putih aku yang jarang-jarang bergerak tu. Waktu nak tadah air dalam baldi kat tepi pagar, aku nampak Mak Cik Umi tengah merumput laman. 

Tak sempat aku nak buka mulut, Mak Cik Umi dah tegur dulu. 

"Nak buat apa tu Adam?" 

"Ingat nak basuh kereta..."

"Heh, kau ni Adam, basuh kereta selalu, tapi keluar rumahnya, payah bebenor. Pergi pasar pun kau sanggup naik basikal aje. Cubalah kau bawak berjalan ke shopping complex, tengok dunia…”

Shopping complex? Huishh… itulah tempat yang paling saya tak suka, mak cik…” Aku tak jadi tadah air. Sesekali sembang dengan Mak Cik Umi petang-petang macam ni, syok jugak!
Sudahnya aku terbalikkan baldi, jadikan tempat duduk tepi pagar sambil perhati Mak Cik Umi cabut rumput liar tepi pokok-pokok bunga dia.

“Ala… kalau tak ke situ pun, bawak-bawak keluar rumah, barulah tak berhabuk macam kereta kau yang lawa tu..."

"Lain macam aje ayat mak cik tu... Nak mengenakan saya la tu..." 

"Ha, kalau kau faham, takpe. Kau tu dah macam barang perhiasan pulak. Muka lawa tapi sembunyi dalam rumah macam anak dara. Jangan kau jadi antik macam barang kat muzium, sudah! Orang boleh tengok aje dari luar. Nak pegang tak boleh dah."

Ayat Mak Cik Umi tu buat aku terus tergelak. Itu sebab aku dengan mak suka Mak Cik Umi. Kelakar dan spontan!

"Lagi antik, lagilah mahal, makcik." Aku cuba nak berlawak.

"Ha ah kut ya makin mahal...kut-kut lagi antik, lagi tak laku. Maklum, barang antik ni ada yang berkarat, kadang ada yang mudah tercopot sana sini!"

Hahaha! Aku gelak sungguh-sungguh sampai muka rasa panas. Nasib baik aku tak berguling aje atas rumput. Nampak gaya aku memang kena surrender dengan Mak Cik Umi. Bab-bab buat joke ni memang aku fail.

"Adam...kau tau kan, mak cik dengan pak cik nak pergi umrah minggu depan..."

Muka Mak Cik Umi tiba-tiba jadi serius. Aku pun automatik rasa cuak tiba-tiba.

"Tau...tapi kenapa, mak cik? Nak ajak saya sekali ke?"

Mak Cik Umi tak gaya macam tak nak layan joke aku sebab dia tiba-tiba berhenti cabut rumput dan muka berkerut-kerut macam tengah fikirkan sesuatu. 

"Masa mak cik dengan pak cik kat Mekah nanti, kau tolong tengok-tengokkan Kris ya?"
"Eh?" Aku ternganga sekejap. "Dia tak ikut sekali ke?"

"Nak ikut macam mana, kalau cahaya hidayah tak sampai-sampai kat dia..."

Ya, Tuhan...tak pernah aku jumpa mak selamba macam ni. Nganga aku dibuatnya!

"Makcik! Kalau Kris dengar ni kecik hati dia nanti."

"Biarkan! Degil sangat budak tu. Nak dirotan, dah besar panjang. Tapi...tu lah...memang silap mak cik dengan pak cik manjakan sangat dia waktu kecik dulu...sampaikan cubit pun tak pernah. Mak cik ni bising mulut aje…”

Aku tak berani nak komen apa-apa. Aku anggap tu luahan seorang ibu yang risaukan satu-satunya anak yang dia ada. Anak dara pulak tu...lawa pulak tu...!

"Kau tolong tengokkan dia ya? Kalau boleh, buat report bagi mak cik tengok bila balik nanti..."

Aku ternganga lagi. Nak gelak, tapi rasa macam pelik jugak bila mendengar permintaan Mak Cik Umi. Elok-elok aku tak nak terlibat dalam urusan hidup Kris, alih-alih maknya sendiri yang cuba nak tarik aku. 

"Hisyy...tak beranilah saya, mak cik. Kris tu dahlah tengah marah kat saya... Nanti dituduhnya saya ni penyibuk pulak!"

"Eh, yang kau takut sangat kat dia tu kenapa? Takdenya dia boleh makan kau. Dia tu lagi muda dari kau, tau. Tapi muda tak muda sangatlah...nak masuk 27 dah. Kalau zaman mak cik tu dah masuk kategori andalusia tu..."

Aku terus tergelak kecil. Patutlah si Kris tu mulutnya boleh tahan. Hari-hari duduk dengan mak yang bermulut selamba macam Mak Cik Umi, hari-hari kena libas, nak tak nak sesekali kena pertahankan diri jugak, ya tak?

“Kris kan dah ada boyfriend... rasanya lagi elok kalau mak cik suruh boyfriend dia yang tengok-tengokkan...”

“Hah? Si Fandi tu?! Budak jantan tu bukannya boleh diharap pun!” Mak Cik Umi siap menonyoh-nonyoh rumput yang dah dicabut. Mesti Mak Cik Umi tengah membayangkan tonyoh muka boyfriend Kris! Jangan-jangan Mak Cik Umi ni pun ada imaginasi yang tinggi.

“Isk! Mak cik ni... macam tak suka sangat kat si Fandi tu. Kalau dah Kris suka, Mak Cik kena terima seadanya... kang tak bahagia pulak hidup diorang kalau mak cik tak restu.” Aku cuba memujuk Mak Cik Umi.

Tiba-tiba Mak Cik Umi jeling aku. Ah sudah! Terus aku katup mulut, jangan senyum! Kecik hati orang tua tu nanti!

“Kau tau, Fandi tu cuma datang time raya tahun pertama dia kenal dengan Kris. Lepas pada tu, setakat depan pintu pagar tu ajelah… tegur tidak, tanya khabar tidak… apa lagi nak ambil hati mak cik dengan pak cik. Macam tu nak suruh dia tengok-tengokkan Kris? Pentingkan diri sendiri adalah…! Takkan mak cik pulak kena terhegeh-hegeh jumpa dia sebab nak bagi restu? Adab takde!”

Aku tak terkata sebab Mak Cik Umi nampak macam marah benar bila sebut fasal Fandi. Aku nak komen pun, macam tak kena. Dah aku pun bukannya kenal si Fandi tu. Sesekali aje nampak dia hantar Kris balik, tak keluar kereta, terus cabut. Aku rasa kalau aku berselisih bahu dengan dia kat mana-mana, sumpah aku tak cam dah!

********************
Mak Cik Umi dah masuk dalam rumah. Tak solat Asar lagi katanya. Aku pulak, teruskan pelan untuk cuci kereta. Masa nilah aku suka nak membelek kereta lama-lama. Sampai tak sedar pakaian aku dah basah kuyup semuanya.

Waktu aku tengah gigih sental sport rim, aku dengar bunyi enjin kereta masuk kat rumah sebelah. Aku toleh dan nampak Swift pink tu dah balik! Tuannya pun turun dari kereta sambil menjeling kat aku. 

Mak aii… aku rasa kalau boleh keluar anak panah dari mata dia tu, mesti dah tercacak kat kepala aku. Memang jelingan membunuh! 

Aku rasa aku perlu ambil pendekatan ke arah rundingan damai. Kena cari jalan jernihkan fikiran dan prasangka Kris kat aku, supaya tak berlarutan. Lambat-lambat aku jalan ke pagar, supaya dekat sikit, dan tak payahlah dia tinggikan suara macam dia buat pagi tadi. Kalau Mak Cik Umi tak sampaikan pun tak apa, sebab aku dah dengar pesanan dia laung kat Mak Cik Umi, ‘konon dia masih marah kat aku’.

“Awal balik hari ni, Cik Kris?” Aku beranikan diri tegur dia. 

Kris pandang aku atas bawah, memang macam nak makan! 

“Eh? Salah ke balik awal? Saya kena punch card kat rumah awak ke?” 

Dush! Sinis betul si Kris ni. Kalau aku balas, agak-agak, menangis tak dia? Heh!

“Tak adalah…biasanya lepas Isyak baru nampak awak balik…”

Baru sebaris aku bagi ayat, mata Kris dah mula bulat. Macam cucuh api kat minyak aje. Kejap lagi mesti dia jadi naga! Hahaha...

“Amboi…amboi…” Kris dah mula cekak pinggang, dongak pandang aku macam Tun Teja nak ajak bersilat.

“Dahlah tak kerja, memerap kat rumah, sekarang, suka jaga tepi kain orang pulak ya? Itulah… berkawan lagi dengan mak cik-mak cik… ha…perangai pun dah jadi kaypochi, tak padan dengan lelaki!”

Pedas jugak kata-kata Kris tu. Tapi dia sedar tak, mak cik-mak cik yang dia cakap tu, mak aku dan mak dia sendiri? Haih! Agaknya dah memang takdir, aku dengan Kris ni tak boleh berbaik walaupun berjiran. Kalau tak, takkan selama lima tahun ni, kami bertahan tak bertegur sapa. 

“Siapa pulak kata saya tak kerja?”

“Dah memang awak tak kerja pun, kan? Kalau kerja, taklah awak sentiasa ada kat rumah mak awak tu, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu! Ada kereta rare pun kalau setakat buat perhiasan aje, tak guna, bro! Jangan-jangan minyak pun tak mampu nak isi, kan?” 

Huih, memang jenis tak nak kalah dia ni. Siap tau pulak Chevy Cruze ni agak rare, jika dibandingkan dengan kereta-kereta brand lain yang seangkatan harga dan kelas sepertinya.
Tapi kalau bab kerja tu, aku rasa, aku perlu tune sikit otak dan cara pemikiran Kris. 

“Cik Kris… yang namanya kerja tu, tak semestinya kena keluar rumah pagi-pagi, redah jam sampai stress, balik lewat malam macam awak! Jangan ortodoks sangatlah, Cik Kris…” Tapi aku malas nak bongkar apa kerja aku. Kalau cakap pun tentu dia tak percaya punya!

“Heee! Awak ni kan! Saja nak buat saya marah lagi kan? Lagi eloklah kalau kita tak bertegur sapa!” 

Kris hentak kaki dengan mulut cemburut. Eheh! Comel sungguh! Takde nak kontrol ayu! Orang mesti tak percaya umur dia dah nak masuk 27 tahun. Kalau pakaikan baju sekolah menengah, mesti orang ingat dia sweet 17! Heh, otak aku dah mula melantur! :)

“Eh, kenapa? Awak dah tak marah saya lagi ke tadi?” Aku buat-buat blur. Cuba kuis imaginasi ala komik dari ganggu konsentrasi aku nak selesaikan konfrontasi tak kasat mata yang dah berlanjutan selama 5 tahun dengan Kris. 

“Yelah! Pagi tadi, waktu dapat bunga dari pasu mak awak tu, dapat kad comel tu… saya dah malas nak fikir fasal awak. Saya berazam, saya takkan marah awak semula selagi bunga-bunga tu tak layu!”

“Heh… maknanya, lepas semua bunga tu layu, awak akan marah saya seperti azali, ya?”

“Yelah… dan awak patut bersyukur, saya siap dah ikat dengan panadol kat hujung tangkai bunga-bunga tu sebelum letak dalam pasu. Jadi, sekurang-kurangnya akan ambil masa lebih seminggu untuk bunga-bunga tu layu. Kan lama jugak tu sebagai tempoh kemaafan buat awak!” 

Aku tak dapat nak tahan diri dari tergelak kecil mendengar ayat Kris tu. Agak sengal jugak jawapan Kris. Manalah dia dapat idea letak panadol pada bunga sebab tak nak bagi layu? Dia betul-betul macam watak perempuan dalam shoujo manga!

Muka Kris makin masam bila tengok aku masih gelak-gelak kecil. Marahlah tu!

“Tapi sekarang saya…”

“Tapi sekarang, awak marah saya balik sebab awak stress tak dapat jumpa boyfriend awak, kan? Sebab tu awak balik awal hari ni, kan?” Aku cantas cepat-cepat ayat Kris tu. Sebab aku tak nak dia terus racun fikiran dia sendiri, kaitkan kemarahan tak tahu hujung pangkal dia tu dengan diri aku yang tak bersalah ni.

Kris dah tak menjawab. Mula-mula aku ingat nak ukir senyuman kemenangan. Tapi bila aku nampak mata dia dah berkaca-kaca, aku terkedu. Ah, sudah! Dia nak menangis ke? Ke dia ni jenis cengeng? Iskk!

“Awak kejam!” 

Lepas cakap macam tu, aku nampak airmata Kris pun berderai, terus berlari masuk rumah. Tinggal aku ternganga tak percaya kat pagar sempadan rumah. 

Bila Kris dah hilang dari pandangan mata, baru aku tersedar dan tunjal dahi sendiri. 

Astaga! Aku betul-betul dah buat Kris menangis!
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016